Header Ads

Tunang Aku, Dari Zero To Hero

Aku kenal tunang aku ini semasa aku di Tingkatan 2 lagi. Waktu itu, tunang aku Tingkatan 4. Kami kenal melalui laman Friendster yang mana sekarang laman itu pun dah tak glamour. Kami tidak pernah berjumpa sebab dia menetap di Pahang, manakala aku di Kelantan. Aku anggap tunang aku (masa itu hanya berkawan saja) seperti BFF di alam mayalah. Aku dengan tunang kalau nak dibandingkan bab belajar pada zaman sekolah, aku lebih hebat dari dia. Keputusan PMR aku dapat 9A, dia pula dapat 3A 5B. Keputusan SPM pula, aku dapat 10A, dia cuma 2A 3C, 1D dan 1E sahaja.

Tunang aku ini sebenarnya cousin kepada BFF aku. Jadi, banyak kali jugalah dia tidak setuju aku rapat dengan cousin dia sebab dia kata aku ini lebih banyak untuk orang yang jauh lebih baik, bijak pandai berbanding cousin dia itu. Dia tegur begitu pun sebab kami dah rapat seperti pasangan bercinta. Dan waktu itu kami sangat rapat, selalu chit chat walaupun tak pernah berjumpa. Tetapi aku relaks saja sebab masa itu tak fikir pun kami akan pergi sejauh ini. Tetapi disebabkan aku dari kecil lagi memang suka berkawan dengan orang yang bermasalah, jadi aku tak adalah memilih nak berkawan dengan orang bijak pandai, kaya raya sahaja.

Dipendekkan cerita, selepas mendapat keputusan SPM, aku ingat lagi dia ada SMS beritahu dia kecewa sampai tak balik ke rumah sebab malu nak beritahu keputusan SPM pada ibu bapanya. Dia malu sebab dah macam memalukan keluarga. Dia anak sulung, latar belakang keluarganya pula besar dan semua berjaya dalam pelajaran. Semua jenis yang mendapat keputusan straight A dan belajar di luar negara. Kiranya dialah satu-satunya cucu cicit yang tak pandai. So obviously dia sangat merendah diri sebab sedar yang dia berbeza dari cousinnya yang lain.


Selepas dapat keputusan SPM itu, dia apply UPU dan matrikulasi. Malangnya kedua-duanya tidak berjaya. Yelah, result ada E, memang susah nak dapat tempat. Selepas itu dia dipaksa oleh ayahnya untuk menyambung diploma di satu institusi swasta di bawah pinjaman MARA kerana sudah tiada tempat nak sambung belajar. Disebabkan belajar dalam keadaan terpaksa dan tidak minat, keputusan sem pertama dia cuma pointer 2.9 sahaja. Kisah kesusahan dan kebangkitan dia bermula semasa sem 3. Keluarganya menghadapi masalah dan aku sangat terkejut bila mendapat berita ibu bapanya bercerai. Malam itu dia SMS kata tak tahu nak buat macam mana. Ibu bapa dia bergauh teruk, dia ambil 5 adik beradiknya masuk ke bilik sebab tidak mahu adik beradiknya mendengar pergaduhan itu.

Selang beberapa minit kemudian, dia SMS kata dia dah tak boleh berbuat apa. Ayah dia keluar rumah dan meminta dia menjaga keluarga. Serius aku terkejut sebab apa yang aku tahu keluarga mereka bahagia. Ayahnya ahli perniagaan, ibunya juga bekerja. Kiranya pada aku, keluarga dia adalah keluarga yang senang. Setiap tahun mesti bergambar pakai baju warna sama dengan muka ceria semuanya. Aku langsung tidak percaya yang semua itu boleh terjadi. Hanya mampu meminta dia bersabar dan nasihatkan dia cuba memujuk ayahnya untuk balik ke rumah. Tetapi dia buntu.

Malam itu dia call, menangis-nangis dan mengatakan dirinya anak tak guna. Aku yang memang jenis blur ini hanya mampu cakap sabar sahaja sedangkan kalau aku di tempat dia, mesti aku pun nak gila punya. Yang aku masih ingat, dia cakap malam itu dia tenangkan mak dia yang berdarah di kepala. Dia pula berdarah di bahagian lengan kerana cuba menghalang ayahnya daripada memukul ibunya. Aku sekadar mendengar sahaja segala apa yang dia alami pada waktu itu sebab tidak mampu berbuat apa-apa.


Selepas ibubapanya bercerai, aku mula nampak kesungguhan dan kejayaan dia. Aku nampak dia berubah daripada seorang anak yang manja (sebab menangis masa first time belajar diploma jauh daripada keluarga) kepada seorang anak yang gagah dan kuat ketika usianya 19 tahun. Dalam keadaan susah, dihalau keluar dari rumah, dia menguruskan keluarga untuk balik dan tinggal di kampung di Kelantan bersama datuk dan nenek sebab dia anak sulung dan sangat berpegang dengan amanah ayahnya untuk menjaga keluarga.

Allah beri dia rezeki. Daripada CGPA 2/9, dia mampu improve sampai dapat 3.4, kemudian 3/75 (masa ini terjuta sikit sebab pointer kami sama walaupun masa ini aku tengah asasi sem 1, manakala dia diploma sem 4). Sem 5 dan 6, dia dapat best student award department. Seriously rezeki dia mencurah-curah. Aku melihat sendiri susah payah dia, senyum tangis dia nak menghadapi keadaan bercerai berai, turun naik KL-Kelantan, menjalankan perana sebagai anak sulung menjaga adik beradik yang mula memberontak selepas penceraian itu, difitnah oleh keluarga sendiri dan bermacam-macam lagi mereka sekeluarga hadapi.

Tetapi disebabkan sayang dan hormatnya pada mak dan amanah ayahnya (ayahnya bercerai disebabkan orang ketiga), Allah beri rezeki untuk dia dapat best overall mechatronic project. Selepas itu, banyak tawaran kerja yang best-best dia perolehi selepas tamat diploma. Namun, semua tawaran itu terpaksa ditolak sebab mak nak dia sambung degree. Dia hormat keputusan itu dan selalu cuba memenuhi hasrat dan kehendak maknya. Malangnya rezeki tidak menyebelahi dia. Sewaktu dia mengambil MUET sebelum masuk ke alam universiti, dia cuma dapat band 2 tetapi sudah memadai untuk dia menyambung pelajaran di universiti tempatan.

Selepas tamat diploma, dia apply UPU sekali lagi dan alhamdulillah berjaya! Dia punya teruja dan gembira, tuhan saja yang tahu sebab dia memang bercita-cita untuk masuk IPTA. Sem 1, alhamdulillah dia berjaya dapat deanlist. Tak sampai setahun, dia dapat tawaran biasiswa Mara luar negara. Dia memang tidak pernah menyangka atau bermimpi sekali pun untuk menuntut di luar negara. Tetapi mungkin disebabkan kasih sayang yang diberikan mak dan adik beradik, dia dapat juga tawaran sebegitu.

Halangan terbesar sebelum dia menyambung belajar di oversea is IELTS. Tunang aku memang tidak pandai English. MUET pun band 2. Kalau aku sms dia cakap English, tak pernah pun dia balas dalam English. Kalau ada pun mesti ada spelling error merata, grammar ke laut.

Pada mulanya dia memang tidak mahu sambung belajar di luar negara sebab tahu akan kelemahan dirinya dan mahu menjaga mak dan adik beradiknya yang lain kerana itu adalah amanahnya yang paling besar. Tetapi disebabkan mak terlalu berharap untuk melihat anaknya belajar di luar negara, dia pun terpaksa mengikut kehendak mak sebab dia sangat sayang pada mak dia. Dia tidak sanggup melihat mak dia bersedih dan sudah berjanji mahu membuat maknya gembira.

Dalam masa 2 bulan, dia sertai tuisyen bahasa english untuk memperbaiki bahasa englishnya. Aku dah mula risau sebab bagi aku, dua bulan tidak cukup untuk dia benar-benar improve english. Lagipun orang kata IELTS jauh lagi susah dari MUET. Tetapi nak cerita rezeki Allah pada dia sebab selalu usaha nak bahagiakan mak, alhamdulillah dia berjaya dapat 7.0/9.0 dan berjaya melayakkan diri untuk belajar di luar negara.
"Pergh! Ingat senang ke nak dapat? Aku pun MUET Band 3 saja dulu. Eheh!"
Kemudian bermulalah kehidupan dia sebagai budak lepasan diploma di University of Sheffield. Semasa di oversea, kami tak selalu berhubung  kerana berbeza waktu dan aktiviti harian. Cuma dia selalu mengadu pada aku yang dia penat nak belajar lebih daripada orang lain belajar. Sampai satu tahap dia stress dan penat nak bahagiakan orang sedangkan dia terseksa semasa belajar di sana. Banyak kali dia cakap dia nak berputus asa, dia buat semata-mata mahu mengembirakan ibunya.

Dia juga stress sebab dia slow dalam bahasa english sedangkan lecturers sana pun slang bermacam-macam jenis. Dia selalu gagal pickup waktu dalam kelas dan terpaksa menuntut ilmu dari kawan-kawan selepas tamat kelas.

Yang sebenarnya, dia berasa malu dengan kawan-kawan sebab mereka semua berasal dari sekolah-sekolah yang hebat, yang dapat SPM straight A, yang datang ke oversea sebagai lepasan A level. Sedangkan dia pelajar yang lemah, SPM pun ada E. Bila waktu exam, siang malam dia melekat di library. Kalau nak minta kawan ajarkan, dia selalu tawarkan diri menjadi kuli untuk masak dan beli barang-barang untuk kawan-kawan. Dia selalu cakap yang dia sedar dirinya bukanlah pelajar yang bijak, sebab itulah dia berusaha berlipat kali ganda daripada orang lain.

Selepas dua tahun, alhamdulillah akhirnya dia tamat belajar. Walaupun ramai kawan-kawan yang sangkut sebab tak lulus, tetapi alhamdulillah dia berjaya gred sebagai Bachelor of Engineering Mechatronics dan Robotics Engineering with hounours.

Bahagia dapat tengok dia dapat bawa mak dia berjalan-jalan di oversea dan menerima anugerah konvokesyen anak sulung di sana. Aku sendiri tidak dapat mengambarkan bagaimana perasaan dia dan mak dia. Tetapi aku gembira dan bangga mempunyai kawan setabah dirinya.

Alhamdulillah selepas beberapa bulan gred, dia memulakan kerjayanya sebagai pensyarah di institusi yang dia pernah menuntut ilmu dulu. Sekarang ini, dia aim nak sambung master dan dapatkan title 'Dr' sebelum berusia 35 tahun.
"Tak nak isteri saja ada title Dr. Saya pun nak juga walaupun sekadar Dr falsafah. Hehe!" katanya.
Doakan dia dan doakan kami juga. InshaAllah bulan 10 nanti kami bakal berkahwin. Cukup 10 tahun kami berkenalan, selepas itu dah boleh mengadu di depan-depan, tak payah nak beralam maya lagi. Alhamdulillah, banyak aku belajar dari kisah hidup dia dan bangga untuk berkongsi cerita dia yang aku kenal dari zero ke hero.

Pengajarannya, janganlah kita lemah apabila ditimpa musibah, carilah kekuatan di sebalik kesusahan dan berbuat baiklah pada ibu bapa walau apa jua keadaan. Sentiasa berusaha untuk menggembirakan ibu kita dan jadilah anak yang soleh. Bila ibu reda, inshaAllah Allah juga akan reda dengan kita. Rezeki Allah itu luas, maka sesiapa yang berusaha mendapatkannya, dia akan berjaya. Allah tahu apa yang kita tidak tahu.

Aku akhiri cerita ini dengan sepotong ayat;
"Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal itu baik bagimu, dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal itu tidak baik bagimu. Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui," (Al-Baqarah, ayat 216)
 - Hanaishiteru |

Sumber Asal: IIUMC

No comments:

Powered by Blogger.